Sinar Jumaat 23 Disember 2011 / 27 Muharram 1433
Suatu malam yang sepi, di kala masyarakat sedang khusyuk tidur, seorang pencuri telah menceroboh masuk ke dalam pondok Rabi'atul Adawiyah.
Namun setelah menyelongkar sekeliling berkali-kali, dia tidak menemui sebarang benda berharga kecuali sebuah kendi untuk kegunaan berwuduk, itu pun telah buruk. Lantas si pencuri tergesa-gesa untuk keluar dari pondok tersebut.
Tiba-tiba Rabi'atul Adawiyah menegur si pencuri tersebut, "Hei, jangan keluar sebelum kamu mengambil sesuatu dari rumahku ini." Si pencuri tersebut terperanjat kerana dia menyangka tiada penghuni di pondok tersebut. Dia juga berasa hairan kerana baru kini dia menemui tuan rumah yang begitu baik hati seperti Rabi'atul Adawiyah. Kebiasaaanya tuan rumah pasti akan menjerit meminta tolong apabila ada pencuri memasuki rumahnya, namun lain pula yang berlaku.
"Sila ambil sesuatu," kata Rabi'atul Adawiyah lagi kepada pencuri tersebut.
"Tiada apa-apa yang boleh aku ambil daripada rumahmu ini," kata pencuri berterus-terang.
"Ambillah itu!" kata Rabi'atul Adawiyah sambil menunjuk pada kendi buruk tadi.
"Ini hanyalah sebuah kendi buruk yang tidak berharga," jawab si pencuri.
"Ambil kendi itu dan bawa ke bilik air. Kemudian kamu ambil wudhu' menggunakan kendi itu. Selepas itu solatlah dua rakaat. Dengan demikian, engkau telah mengambil sesuatu yang sangat berharga daripada pondok burukku ini," balas Rabi'atul Adawiyah.
Mendengar kata-kata itu, si pencuri tadi berasa gementar. Hatinya yang selama ini keras, menjadi lembut seperti terpukau dengan kata-kata Rabi'atul Adawiyah itu. Lantas si pencuri mencapai kendi buruk itu dan dibawa ke bilik air, lalu berwudhu' menggunakannya. Kemudian dia menunaikan solat dua rakaat. Ternyata dia merasakan suatu kemanisan dan kelazatan dalam jiwanya yang tidak pernah dirasa sebelum ini.
Rabi'atul Adawiyah lantas berdoa, "Ya Allah, pencuri ini telah menceroboh masuk ke rumahku. Akan tetapi dia tidak menemui sebarang benda berharga untuk dicuri. Kemudian aku suruh dia berdiri dihadapan-Mu. Oleh itu, janganlah Engkau halang dia daripada memperoleh nikmat dan rahmat-Mu."
P/S: Kind hearts are gardens, Kind though are the roots, Kind words are flowers, Kind deeds are the fruits, Take care of your garden And keep out the weeds, Fill it with sunshine Kind words and kind action...
0 comments:
Post a Comment